Sabtu, 2 Mei 2009

Asal Usul BRAZIL

Pada zaman dahulu ada sebuah negara di sebelah selatan benua Amerika yang masih belum bernama walaupun negaranya aman damai. Oleh itu Raja Negara itu memerintahkan puteranya mencipta nama yang sesuai bagi negara itu.

Hari demi hari, sehelai demi sehelai rambut puteranya itu gugur kerana pening kepala akibat memikirkan nama negara yang sesuai. Dengan keadaan kepalanya semakin botak, maka salah seorang pegawai istana menegur, "Tuan Putera... nampaknya rambut Tuan semakin gugur. Tiadakah ubat yang boleh merawat rambut Tuan itu?"
"Iya ke?" tanya Putera Raja. Maka Putera Raja melupakan tentang nama negara yang sesuai dan mula memikirkan ubat rambut pula. Semakin difikir semakin gugur pula rambutnya. Maka tiada tertahan lagilah Putera Raja dengan keadaan rambutya itu.

Satu hari terfikirlah Putera Raja untuk memanggil siapa saja untuk mengubat rambutnya itu dan akan menghadiahkan sebuah rumah di atas bukit. Seorang demi seorang datang tetapi tiada sesiapa pun yang dapat mengubatnya. Maka pada suatu hari adalah dua orang Jawa dari Tanah Melayu meminta permit berniaga di kawasan pasar besar. Lalu ditanyalah Putera Raja, "Apa yang kamu niaga?"
"Baja jagung, Tuan Putera," jawab pedagang tersebut dengan menggunakan bahasa isyarat.
"Boleh baja rambut tak?" tanya Putera Raja lagi, juga dengan bahasa isyarat.
"Kami tak pernah cuba, Tuan... tapi kalau Tuan benarkan kami akan cuba..."

Maka Putera Raja pun menyapu baja jagung ke kepalanya supaya ditumbuhi rambut. Lalu diikutkan saja perintah putera raja itu walaupun tidak pernah dilakukannya. Mereka pun menunggu hingga ke petang. Akhirnya beberapa helai bulu jagung tumbuh di kepala putera raja, dan bersoraklah kedua-dua pedagang Jawa itu kegembiraan sambil menjerit, "Berhasil! Berhasil!"

Putera Raja yang mendengar sorakan itu meraba-raba kepalanya. Kemudian mengangguk puas hati. Bukan itu sahaja, Putera Raja juga berkenan dengan perkataan 'berhasil' jeritan pedagang itu. Lalu dinamakanlah negara itu dengan nama 'Brazil' mengikut slang orang-orang Brazil. Dengan sebab itu juga ada di antara orang Brazil yang berambut perang mengikut keturunan Putera Raja Brazil yang berambut bulu jagung!