Sabtu, 2 Mei 2009

Asal Usul NEGERI KEDAH

Kisah bermula apabila lima pemuda yang hensem-hensem dan bersopan-santun lagi merendah diri pergi merantau sambil makan angin. Kelima-lima pemuda tersebut berbuat begitu kerana ingin mencari kelainan di tempat orang. Setelah berminggu-minggu berjalan maka sampailah mereka ke satu tempat yang tiada berpenghuni.

Maka berkatalah pemuda satu,"Negeri apakah ini?" Keempat-empat kawannya menggeleng kepala. Lalu mereka berhenti untuk menghilangkan penat. Tiba-tiba pemuda dua mengadu perutnya memulas.

"Aku sakit perut!" Dengan tidak semena-mena kawannya yang lain turut juga mengalami sakit perut. Oleh kerana menghormati satu sama lain, mereka pun berbincang untuk membahagikan kawasan. Berpecahlah mereka kepada lima bahagian dengan membuat petak-petak sempadan. Mereka berjanji akan selalu bertanya antara satu sama lain setiap dua minit sekali kerana takut salah seorang dari mereka akan hilang. Maklumlah tempat itu teramat sunyi dan asing bagi mereka.

"Belum ke sudah?" tanya pemuda satu selepas dua minit.
"Belum!" jawab kawannya serentak. Begitulah seterusnya hinggalah masing-masing keletihan bertanya dan menjawab. Maka pertanyaan pun diringkaskan.
"Ke dah?" tanya seorang.
"Belum," yang lain menjawab.

Akhirnya setelah berjam-jam bersoal jawab, maka perut mereka pun kembali pulih seperti biasa. Dalam keletihan untuk berjalan pulang, bertanyalah salah seorang dari mereka,"Ke dah?"
"Dah", jawab yang lain. Kerana merasakan tempat itu tidak sesuai untuk mereka maka berjalanlah pulang kelima-lima pemuda itu balik ke negeri mereka semula. Selang beberapa bulan kemudian sepasang suami isteri sampai di situ pula. Tiada orang lain melainkan mereka berdua sahaja.

Mereka amat terkejut melihat satu tumbuhan subur dalam lima petak yang elok sempadannya. Kerana mahu mengambil buah-buah bewarna keemasan itu maka mengetamlah mereka. Oleh kerana tanaman itu subur maka letihlah suami isteri tersebut, ditambah pula dengan luasnya kawasan tanaman itu. Bertanyalah suami kepada isterinya,"Dah ke?"
"Belum."
Begitulah seterusnya sehingga selesai tiap-tiap satu petak tanaman itu. Bertanyalah lagi suami pada isterinya,"Dah ke?"
"Dah."

Dipercayai kerana saban tahun bertanya 'dah ke' dan dijawab pula 'dah' pada setiap kali mengetam maka resminya negeri tidak bernama itu dikenali dengan Kedah hingga sekarang. Petak- petak yang dipelopori oleh lima bersaudara itu juga dipercayai sebagai petak sawah sekarang. Padi yang menunduk itu juga dikatakan hasil dari badi lima bersaudara yang tinggi meninggi diri itu.

Begitulah kononnya pun.