Sabtu, 2 Mei 2009

Asal Usul TEHRAN

Satu masa dulu dalam tahun 1318, dua orang lanun yang bernama Sengkuang dan Lengkuas duduk termenung di atas perahunya kerana hasil rompakan mereka berkurangan sejak kebelekangan ini. Ini semua disebabkan kerajaan menggalakkan inflasi sifar, jadi tiada sesiapa pun yang membawa harta yang banyak ketika belayar.

Akhirnya Sengkuang dan Lengkuas mengambil keputusan untuk melanun di kawasan yang jauh dari situ. Negara yang menjadi destinasi mereka ialah Iran. Tidak pernah sebelum ini mereka merompak di darat. Itulah saja jalan terakhir untuk mereka untuk menjadi kaya.

Kebetulan pada masa yang sama, Raja negeri Iran mengisytiharkan satu pertandingan akan diadakan iaitu pertandingan mencipta nama ibu negara Iran. Hadiah-hadiah yang disediakan amatlah lumayan iaitu tiket kapal terbang pergi balik ke Segambut selama lapan hari, sebuah keretpi wap, banglow dan basikal racing. Maka berebut-rebutlah rakyat Iran mencari nama yang sesuai. Ada yang mencari di kawasan-kawasan terbuka, ada yang mencari di bawah pokok, di tepi sungai, di kaki bukit... kiranya mereka tdak duduk rumahlah sehari suntuk untuk mencipta nama ibu negara.

Peluang yang terbuka tidak disia-siakan oleh Sengkuang dan Lengkuas untuk menyamun rumah yang kosong. Habislah barang-barang dan peralatan rumah dicurinya sehingga tiada satu pun yang tinggal. Kayalah kedua-dua lanun dengan harta-benda hasil curiannya. Maka bersiap-siaplah mereka untuk pulang ke negeri asal mereka.

Dalam perjalanan pulang, lalulah Sengkuang dan Lengkuas di hadapan stadium yang telah dipenuhi oleh rakyat Iran yang menanti keputusan pertandingan mencari nama ibu negara. Terdengarlah mereka suara Raja Iran menyebut,"Maka diisytiharkan tiadalah pemenang semua hadiah mewah kerana tiada seorang pun yang dapat mencipta nama yang sesuai."

Tiba-tiba Sengkuang menjerit dari jauh,"Eleh... apa sangatlah hadiah mewah itu... tak dapat pun tak apa! Tak heran la! Tak heran!" kata Sengkuangyang berbangga dengan harta curiannya.

Lengkuas pun menyambung,"Ya la... tak heran! Booo... tak heran!"

Raja Iran yang mendengar jeritan itu terkejut dengan perkataan 'tak heran'."Saya suka perkataan itu... jemputlah kedua-dua orang itu mengambil hadiah."
Melihatkan semua orang menoleh kepada mereka, Sengkuang dan Lengkuas pun menjadi takut. Maka berlarilah mereka meninggalkan stadium negeri Iran itu.

Dengan itu lekatlah nama 'tak heran' yang telah ditukar ejaan menjadi Tehran, ibu negara Iran dan sehingga kini hadiah-hadiah masih belum di tuntut.