Sabtu, 2 Mei 2009

Asal Usul NORWAY

Selepas Parameswara berjaya menamakan sebuah negara di Eropah iaitu Perancis dan telah dihadiahkan tiket penerbangan ke Melaka oleh TDC, maka tinggallah pengikut-pengikutnya yang lain di Perancis. Mahu tak mahu tinggallah mereka di sana kerana kapal yang membawa mereka ke sana telah rosak dan tidak boleh diguna lagi. Kerana ingin juga pulang ke Melaka, maka bertekadlah mereka semua walau terpaksa berjalan kaki sekalipun. Maka berjalanlah mereka segerombolan tanpa arah tujuan kerana tiada sesiapa yang membawa peta dan kompas ketika itu.

Dipendekkan cerita, maka sampailah mereka di sebuah negara yangtak bernama dan rata-rata penduduk tempatannya orang putih. Oleh kerana keadaan negara yang sejuk itu, bersetujulah mereka untuk berehat di situ barang sebulan dua untuk melepaskan lelah dan berehat setelah berjalan berbulan-bulan lamanya. Akan tetapi terpaksalah mereka meminta keizinan penduduk tempatan, dikhuatiri akan berlaku pergaduhan pula nanti. Seorang dari mereka pun bertanya kepada seorang putih yang dianggap sebagai ketua di situ.
"Kami nak berehat di sini buat beberapa waktu, boleh ke tak boleh?"
Malangnya dengan angkuh mat saleh itu menjawab,"No way man... no way!"
"Alaaa... takkan tak boleh, bolehlah..."
"No way, I say no way!"

Maka berlanjutanlah pertanyaan itu tetapi tetap ditolak oleh mat saleh yang kerek itu. Berlanjutanlah perkara itu hingga menjadi perbalahan antara mereka selama berminggu-minggu lamanya. Akhirnya, bosanlah mereka dengan sikap penduduk tempatan yang sombong dan tidak mahu menjalinkan persahabatan itu. Mereka pun membuat keputusan untuk meninggalkan negara itu tetapi mereka kana membuat sesuatu untuk membalas perbuatan orang-orang putih itu.

Pada waktu malam, mereka pun mencuri beberapa buah kereta lembu dan meninggalkan negara itu dengan segera. Akhirnya setelah bertahun-tahun dan berjanggut-janggut mengembara, sampai jualah mereka ke Melaka. Maka diceritakanlah oleh mereka tentang kesombongan penduduk-penduduk negara yang telah mereka jumpai itu kepada Parameswara. Lalu bertanyalah Parameswara, "Negara apakah itu? Cuba kamu bagitau beta!"
"Entah tapi mereka asyik sebut no way... no way!"

Jadi sejak itu, negara itu dipanggil 'No way' atau ejaan barunya Norway. Dan satu lagi perkara, kereta lembu telah menjadi kenderaan tradisional yang terkenal di Melaka sejak itu. Dipercayai kereta lembu yang di pulang ke Melaka adanya.