Sabtu, 2 Mei 2009

Asal Usul MERLIMAU Melaka

Alkisahnya, setelah berjaya mengasaskan penempatan baru iaitu Chile, Parameswara dan sekalian hulubalangnya pun kembalilah ke Melaka. Memandangkan pilihanraya sudah hampir tiba, Parameswara amat berhasrat untuk melawat sekitar negeri Melaka untuk beramah mesra dengan sekalian hamba rakyat jelata di samping memancing undi.

Maka, bersama Bendahara dan beberapa orang pendekar dari Bukit Si Guntang, keluarlah baginda untuk melawat tanah jajahannya. Sebelum meneruskan perjalanan, mereka ke rumah tabib M. Yasin untuk mengajak beliau mengikuti rombongan Parameswara. Manalah tahu kalau ada rakyat jelata yang sakit boleh diubati. Ini sudah tentu akan menambah undi untuk Parameswara agar terus kekal sebagai Raja Melaka.

Dari hilir sungai, berakit-rakitlah mereka ke hulu. Di suatu kawasan di pertengahan jalan, mereka tercium bau yang amat wangi.
"Dari mana bau wangi ini? Macam bau beribu-ribu lemo, wahai Memanda Bendahara?"
"Nanti patik check dulu, Tuanku," jawab Bendahara.

Dengan bantuan anjing perburuan, maka berjumpalah Bendahara akan sepohon pokok yang daunnya rimbun dan lebat buahnya serta bunganya.
"Pokok spesis apa ni, Bendahara?"
"Patik tak tahu, Tuanku. Patik tak belajar subjek biologi masa kat sekolah dulu, ampun tuanku," jawab Bendahara.
"Apa pendapat kamu , wahai tabib M Yasin?"
"Pada firasat dan ilham yang ada dalam diri patik ini, patik rasa ni pokok limau antu atau nama saintifiknya Atalantia spinosa, ampun Tuanku."
"Nama tu panjang sangat. Nanti tak glamour. Tak ada nama lain ke, tabib M. Yasin?"
"Ada Tuanku. Orang kampung patik panggil pokok itu pokok Merlimau."
"Canteeek! Baiklah, Beta isytiharkan tempat ni sebagai Merlimau. Bendahara, sila catat nama kawasan ini dalam peta Melaka."
"Cheh." Fikir Bendahara dalam hati.
Begitulah seterusnya dengan mudah Parameswara memberi nama tempat-tempat di Melaka. Setiap kali singgah di bawah pokok untuk berehat, di situlah juga dia menamakan nama tempat tersebut, termasuklah Bertam Ulu, Durian Tunggal, Ayer Keruh dan Bukit Cina. Setelah Parameswara mangkat, Bendahara pula menggantikannya dan menamakan sesuatu tempat mengikut tempat berehat. Sebahagian tempat itu terletak di Perak seperti Parit, Tanjung Rambutan, Lumut dan Batu Gajah.